KUALA LANGAT 15 Sept. - Polis Selangor sedang menyemak semua kes kehilangan orang di negeri ini bagi mengenal pasti sama ada ia turut melibatkan kumpulan suspek yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini, dua daripada laporan tersebut mempunyai kaitan dengan suspek utama pembunuhan usahawan wanita itu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci sebarang maklumat berhubung dua laporan tersebut kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.
"Buat masa ini saya hanya boleh sahkan bahawa polis telah membuka semula dua laporan mengenai orang hilang yang dipercayai ada kaitan dengan suspek kes ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop meninjau kawasan yang dikatakan lokasi pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga lagi mangsa di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dekat sini hari ini.
Ditanya sama ada polis menemui sebarang bahan bukti atau petunjuk baru, Khalid berkata, polis masih berusaha dan sehingga tengah hari ini, beliau belum lagi menerima sebarang maklumat berhubung penemuan baru.
Bagaimanapun, ketika wartawan mengajukan beberapa soalan, beliau enggan mendedahkan sebarang maklumat dengan alasan kes berprofil tinggi itu kini disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan