KUALA LUMPUR: Spekulasi pihak media hanya akan mengganggu siasatan polis berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Perkara itu ditegaskan memandangkan masih terdapat laporan akhbar arus perdana yang dikatakan mengganggu siasatan dengan melaporkan maklumat yang tidak boleh dipercayai daripada sumber yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin (gambar) menegaskan, laporan spekulasi yang dilihat remeh dan dipetik daripada sumber tidak menjadi kepentingan utama dalam siasatan. Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar (bukan Kumpulan NSTP) semalam, kononnya suspek utama ditahan didapati menyimpan dua pekerja wanita warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. “Kami menyiasat kes pembunuhan Sosilawati sebagai kes bunuh. Oleh itu, tumpuan siasatan tertumpu ke arah itu kerana kesalahan yang dilakukan lebih besar daripada yang lain. “Namun, pada masa sama kami akan cuba mengesan jika suspek turut melakukan pembunuhan lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan