KUALA LUMPUR 21 Sept. - Tiga peguam yang dilantik bagi mewakili dua beradik, iaitu suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dibenarkan berjumpa anak guamnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Khamis ini.
Peguam, V. P. Vijandran berkata, beliau dan dua rakannya telah mendapat kebenaran tersebut selepas bertemu dengan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, pukul 1.50 petang ini.
"Hasil pertemuan lebih sejam, polis memberi peluang untuk kami bertemu anak guam kami," katanya ketika ditemui di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hadir sama dua lagi peguam yang dilantik mewakili suspek dua beradik tersebut iaitu Ravi Nekoo dan Pushpa Ratnam.
Menurut Vijandran, pertemuan pada hari tersebut akan turut disertai ahli keluarga anak guamnya itu.
Dalam laporan akhbar hari ini, peguam, Ravi Nekoo telah dilantik mewakili dua beradik yang kini berada dalam tahanan reman berhubung kes pembunuhan Sosilawati dan tiga lagi.
Pelantikan itu dibuat oleh keluarga dua beradik tersebut pada 12 September lalu dan satu pasukan pembelaan telah ditubuhkan mewakili kedua-dua suspek yang juga merupakan peguam.
Peguam terbabit juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang didakwa tidak membenarkan mereka bertemu dengan anak-anak guamnya.
Kedua-dua beradik itu ditahan polis pada 9 September lalu di Banting, manakala enam lagi suspek ditahan pada keesokan harinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan