Tengku Abdullah mahu keadilan ditegakkan
KUANTAN 21 Sept. – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap keadilan dapat ditegakkan dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain yang menggemparkan negara, baru-baru ini.
Baginda yang sedih dan bersimpati dengan keluarga Sosilawati, 47, serta tiga lagi mangsa berharap mereka dapat menerima hakikat kejadian tersebut dan menasihatkan supaya banyak bersabar dan menerima ketentuan Allah.
“Saya ucapkan takziah kepada keluarga Sosilawati yang kita tahu menerima anugerah Datuk dari Pahang, malah keluarga saya juga mengenalinya walaupun tidak begitu rapat. Insya-Allah saya akan menziarahi keluarga Sosilawati nanti,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas menziarahi keluarga pemandu peribadi Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin di Indera Mahkota 2 di sini, hari ini.
Tengku Abdullah bertitah, keluarga baginda telah lama mengenali ibu kepada Kamaruddin iaitu Zainab Ahmad kerana pernah bekerja di Istana Pahang suatu masa dahulu.
“Saya harap keluarga ini dapat bersabar kerana semua ini kehendak Allah dan saya juga berharap anak-anak Kamaruddin dapat diasuh dan dijaga dengan baik serta mendapat pendidikan yang sempurna,” titah baginda.
Sementara itu, kakak Kamaruddin, Ramlah, 49, berterima kasih kepada pihak yang sudi melawat keluarganya sejak berita mengenai pembunuhan itu disiarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan