Isnin, 20 September 2010

Ladang Gadong makin popular

BANTING: Kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lagi individu di Ladang Gadong, dekat sini, menarik ramai pengunjung ke kawasan terbabit yang sebelum ini kawasan terpencil dan jarang dikunjungi.
Jumlah pengunjung yang ingin melihat dengan dekat kawasan tersebut, yang terletak antara Morib dan Tanjung Sepat, dilaporkan meningkat sejak minggu lalu apabila kes pembunuhan itu dilaporkan media.

Ramai yang balik beraya dan bercuti ke Banting meluangkan masa melawat ke Ladang Gadong yang juga kawasan ladang kelapa sawit dan buah longan, di samping kawasan ternakan ayam.

Peniaga nasi campur berhampiran kawasan itu, Muhammad Hussain, 62, berkata, lauk-pauk yang dijual sering kali habis sebelum tibanya petang.

“Kalau dahulu keuntungan bersih kira-kira RM300 sehari, namun berganda kepada RM600 sehari apabila ratusan pengunjung mengunjungi restoran saya,” katanya.

Selain pengunjung, kedainya turut dijadikan ‘’kawasan rehat dan riadah’’ sementara bagi pengamal media tempatan dan antarabangsa serta anggota polis.

Bagi peniaga Puuneswral, 29, pula roti canai dan mee goreng yang dijualnya sejak 8 pagi seringkali habis sebelum 11 pagi.

“Ini kali pertama warung yang dibuka bapanya sejak tiga tahun lalu menerima ratusan pengunjung setiap hari.

“Mereka (orang awam) datang awal pagi dan duduk sambil makan dan bercakap mengenai kes terbabit sesama mereka,” katanya.

Puuneswral juga berkata, pada Sabtu dan Ahad minggu lepas, lalu lintas di hadapan warungnya sesak berikutan ramai orang yang berkunjung ke tempat kejadian untuk mengetahui perkembangan berita pembunuhan itu.

Kini, dengan siasatan kes pembunuhan sudah sampai penghujungnya, jumlah pengunjung ke kawasan itu semakin susut.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan