KUALA LUMPUR 21 Sept. - Kata-kata semangat dan dorongan boleh menjadi penawar terbaik untuk anak-anak dan keluarga Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain meneruskan hidup dan menghadapi realiti kehilangan keluarga tersayang akibat dibunuh dengan kejam.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berkata, penderitaan yang dialami oleh keluarga mangsa dari segi mental dan emosi memerlukan sokongan daripada orang ramai untuk turut mendoakan kesejahteraan kepada semua mangsa yang terlibat.
"Pada saya semua pihak harus memberikan kekuatan kepada keluarga mangsa kerana penderitaan mereka seperti kata pepatah berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul," katanya.
Tambahnya, kejadian sedemikian memperlihatkan pada zaman sekarang sudah semakin ramai manusia yang hilang pertimbangan selepas tergoda dengan nafsu tamak haloba kerana wang menjadi taruhan dan tuntutan.
"Dalam hadis Rasulullah SAW ada bersabda, kasih kepada dunia adalah ibu kepada segala penyakit, yang bermaksud, manusia sudah lupa pertimbangan akibat duit kerana merasakan dia akan hidup lama di dunia ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi kediaman jutawan kosmetik itu di Taman Harmonis, Gombak di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan bekas suami pertama Sosilawati, Bukhairi Mohamed.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan