Selasa, 21 September 2010

Rampas burung

Perhilitan selamatkan merak di Ladang Gadong

Anggota Perhilitan menangkap burung merak di ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati di Ladang Gadong, Kuala Langat, semalam. - utusan Mohd. Shaharani Saibi


KUALA LANGAT 20 Sept. - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri hari ini menyelamatkan empat ekor burung merak dari ladang milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Ladang Gadong di sini.
Walaupun burung merak bukan daripada spesies yang dilindungi, namun Perhilitan tetap membawa keluar haiwan peliharaan berkenaan memandangkan tiada mana-mana pihak menguruskannya lagi di ladang tersebut.
Turut diselamatkan tiga ekor burung gembala kerbau, tekukur (tiga) dan murai kampung (seekor) yang juga dipelihara di situ.
Empat pegawai Perhilitan tiba di ladang tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum keluar semula dua jam selepas itu untuk membawa sangkar.
Pegawai Perhilitan negeri, Ahmad Shahrizan Mohd Nawawi berkata, pihaknya datang ke ladang itu selepas membaca laporan akhbar mengatakan terdapat burung merak dipelihara di situ.
"Hasil pemeriksaan, kita menemui empat ekor burung merak dan beberapa ekor unggas lain.
"Atas dasar kebajikan dan memandangkan lokasi ini tidak dibenarkan masuk untuk orang awam, kita mengambil inisiatif menyelamatkan kesemua unggas itu.
"Kesemua unggas berkenaan akan dibawa ke pejabat Perhilitan untuk dijaga dan diberi makan," katanya kepada pemberita di Ladang Gadong di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, beliau tidak dapat memastikan laporan akhbar yang mengatakan suspek turut membela beruang di dalam ladang tersebut.
"Saya tidak nampak ada beruang mahupun kandangnya," katanya.
Kesemua unggas itu dibawa keluar pukul 4.45 petang untuk dihantar ke pejabat Perhilitan negeri di Seksyen 8, Shah Alam dekat sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan