Lokasi baru buang bahan bukti ditemui
KUALA LANGAT 21 Sept. - Polis mungkin mendapat petunjuk baru yang dapat membantu siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya atau beberapa kes lain yang membabitkan suspek utamanya.
Ini berikutan penemuan satu lokasi baru yang dipercayai dijadikan tempat pembuangan bahan bukti oleh polis hari ini iaitu di kunci air Sungai Lang di sini.
Suspek utama dipercayai telah menunjukkan polis lokasi tersebut untuk mencari beberapa bahan bukti yang dapat membantu siasatan iaitu barang berharga milik mangsa yang dibuang di sungai itu dipercayai telefon bimbit atau jam.
Pasukan Bahagian Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur dan Selangor yang membawa suspek tiba di kawasan kunci air Sungai Lang kira-kira pukul 3.10 petang iaitu sejurus selepas operasi merampas dokumen di pejabatnya selesai.
Turut mengiringi suspek adalah seorang pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Asisten Supritendan Tony Lungan.
Sepasukan polis dari Unit Skuba Pasukan Gerakan Marin (PGM) yang turut serta mula menyelam di kawasan kunci air sungai itu kira-kira pukul 3.20 petang.
Bagaimanapun, mereka hanya menemui satu objek berbentuk seperti gelang tangan dan tidak diketahui sama ada objek itu ada kaitan dengan kes yang membabitkan suspek utama. Objek itu kemudian dibawa naik untuk siasatan lanjut.
Selepas penemuan objek itu, unit skuba yang meneruskan operasi menyelam tidak menemui apa-apa dan menghentikan operasi menyelam pada pukul 4.45 petang.
Pasukan polis dan suspek utama yang berada di kawasan kunci air itu sepanjang operasi menyelam berjalan meninggalkan lokasi tersebut pada pukul 5.15 petang.
Sebelum ini, pasukan Unit Skuba PGM telah menyelam di tiga sungai iaitu di Sungai Panchau, Sungai Kanchong Laut dan Sungai Gelanggang Buaya yang kesemuanya terletak berhampiran ladang milik suspek utama di Ladang Gadong.
Banyak bahan bukti berjaya ditemui di ketiga-tiga sunga tersebut antaranya tulang-tulang manusia, pisau, zink dan lain-lain.
Ini menjadikan kawasan kunci air Sungai Lang merupakan lokasi keempat yang telah diselam oleh unit skuba itu setakat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan