Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
2010/09/20
BUKIT MERTAJAM: “Kematian arwah berpunca masalah keluarga, bukan berkaitan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang dipercayai mati dibunuh bersama tiga yang lain baru-baru ini,” kata anak saudara pengasas kosmetik Aveer, Sarina Jaafar.
Naimah Said, 32, berkata, arwah ibu saudaranya itu dipercayai mengalami tekanan perasaan sejak beberapa bulan lalu dan sebelum ini, arwah pernah cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangannya.
Menurutnya, kematian itu akibat masalah keluarga dan tidak ada kena mengena dengan urus niaga bersama rakan baiknya, Sosilawati dan diharap tiada pihak yang salah erti terhadap punca kematiannya.
“Arwah pernah menceritakan masalah keluarga dihadapinya sebelum ini dan arwah juga tiada sebarang masalah dalam perniagaan,” katanya ketika ditemui di rumah arwah di Taman Pauh Jaya, di sini, semalam.
Kelmarin, Sarina Jaafar, 45, ditemui mati tergantung dalam bilik tidur utama rumahnya oleh anak perempuannya kira-kira jam 8.30 pagi sebelum melaporkan kepada kejadian itu kepada polis.
Naimah berkata, arwah adalah kenalan rapat Sosilawati dan pernah menyuarakan hasrat pergi ke kediaman Sosilawati di Kuala Lumpur bersama rakan-rakan yang bergiat dalam perniagaan sama.
“Saya rapat dengan arwah dan sebelum kematiannya, arwah sempat menghubungi saya dan berpesan menjaga anak-anaknya selain membantu urusan perkahwinan anak sulungnya, Mohd Azrul Affendi Jakaria, 24, yang dijadualkan Januari tahun depan.
“Kali terakhir berbual dengan Mak Anjang (panggilan mesra Sarina) dia berpesan menjaga anak-anaknya dan meminta menguruskan perkahwinan anaknya sebelum panggilan itu terputus,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakub berkata polis belum menemui sebarang bukti dan keterangan untuk mengaitkan kematian mangsa dengan pembunuhan Sosilawati walaupun mereka mempunyai hubungan rapat.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut kerana tidak menemui bukti berlaku unsur jenayah.
“Polis tidak menutup kes berkenaan dan masih menjalankan siasatan termasuk mendapatkan keterangan ahli keluarga mangsa bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya,” katanya ditemui selepas melawat pembantu rumah warga Indonesia, Win Faida, yang menjadi mangsa dera di Hospital Pulau Pinang, di sini, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan