Selasa, 21 September 2010

Keputusan DNA belum diterima

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas serpihan tulang ditemui di Banting dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi yang sepatutnya diketahui hari ini, masih belum diterima polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar) ketika mengesahkan perkara itu berkata, Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) masih memerlukan masa untuk mengemas kini ujian terbabit.
“Kita belum menerima keputusan DNA itu yang masih belum selesai. Polis tidak boleh memaksa mereka (Jabatan Patologi HKL) untuk menyiapkan laporan DNA tersebut.
“Saya harap semua pihak dapat memberikan pihak berkenaan masa menyelesaikan ujian terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Bakri pada satu sidang akhbar memberitahu, keputusan DNA itu dijangka diperolehi selepas empat hari iaitu hari ini.
Katanya, namun tempoh itu mungkin akan dilanjutkan sekiranya pihak patologi memerlukan ujian rapi.
Tambahnya, hasil ujian DNA itu juga bakal mendedahkan identiti pemilik tulang itu yang sebelum ini dikaitkan dengan Sosilawati dan tiga yang lain.
Sosilawati bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urus niaga tanah.
Pada 13 September lalu, polis mengesahkan empat daripada lapan suspek mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati, membakar mayat mereka sebelum abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting, Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan