Isnin, 20 September 2010

Pengusaha longan rugi RM30,000

BANTING: Seorang pengusaha longan di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, di sini, iaitu lokasi pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain mendakwa kerugian hampir RM30,000 kerana terpaksa menutup ladangnya buat sementara waktu sejak polis menyiasat kes berprofil tinggi itu.
Pemilik syarikat Soon Beng Longan Trading, Lim Soon Beng, 40, berkata sejak 10 hari lalu, semua pelanggan tidak dibenarkan melawat dan membeli longan secara terus dari ladangnya yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari jalan utama Morib-Tanjung Sepat, dekat sini.

“Saya rugi kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 sehari berikutan kes pembunuhan Sosilawati sebab arahan polis yang tidak membenarkan pelancong asing memasuki Ladang Gadong. Justeru, saya terpaksa menutup ladang saya,” katanya.

Lim pemilik tunggal yang mengusahakan tanaman longan di kawasan seluas enam hektar di daerah Kuala Langat sejak 10 tahun lalu.

Tinjauan mendapati sebuah bas ekspres yang membawa puluhan pelancong asing dan tempatan yang mahu melawat ladang longan terbabit diarahkan berpatah balik oleh polis. Petugas media juga masih berkampung di sebuah kuil berhampiran bagi memantau aktiviti di lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, sebelum didapati dibunuh sebelum mayat mereka dibakar di Ladang Gadong. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan