Pembunuhan kejam Sosilawati: Polis lanjut tempoh reman suspek bunuh Sosilawati
2010/09/19
SUSPEK utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu direman di Pusat Tahanan Sementara Balai Polis Bukit Jalil hingga 25 September ini.
PETALING JAYA: Tempoh tahanan reman terhadap peguam dua beradik dan seorang lelaki suspek kes bunuh dan bakar jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya disambung selama tujuh hari lagi bagi membolehkan polis melakukan siasatan dengan lebih terperinci.
Majistret Mohd Azeli Ibrahim menetapkan tarikh itu berkuat kuasa semalam sehingga 25 September ini selepas tempoh reman ketiga-tiga suspek berakhir, semalam di Pusat Tahanan Sementara, Balai Polis Bukit Jalil di sini.
Peguam dan ahli perniagaan berusia 41 tahun disyaki suspek utama kes pembunuhan ahli perniagaan wanita itu dan tiga individu tiba di perkarangan balai polis diiringi empat anggota polis kira-kira jam 10 pagi dengan memakai pakaian reman berwarna ungu.
Dua suspek memakai baju oren dipercayai peguam yang juga adik suspek utama serta pekerjanya, berusia 38 dan 45 tahun dibawa memasuki pekarangan balai polis dan dikawal ketat.
Ketika dibawa polis sebaik tiba di balai itu ke bilik mahkamah, seorang daripada dua suspek didakwa berkata, Don’t do this, I’m not involve (Jangan buat begini, saya tidak terbabit) dan mengelakkan gambar dirakamkan.
Wartawan dan jurugambar tetap merakamkan suspek yang kelihatan menutup wajah mereka dengan baju.
Ketiga-tiga suspek berada di dalam bilik mahkamah tertutup itu selama satu jam diawasi lebih 10 anggota polis dan dibawa keluar, kira-kira jam 11 pagi.
Sosilawati, 47, pengasas Nouvelle Visages; pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dipercayai diikat sebelum dipukul dan ditikam hingga mati sebelum mayat mereka dibakar, manakala abu mayat dibuang ke Sungai Panchau bagi menghapuskan bukti, 30 Ogos lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan