BANTING: Operasi mencari bahan bukti berhubung pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain diteruskan pasukan Forensik dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin (PGM) di lokasi baru iaitu di tali air, dekat Uptown Banting, di sini, semalam.
Difahamkan, tujuan polis berada di lokasi itu bagi mengesan telefon bimbit seorang daripada mangsa bagi membantu mengukuhkan siasatan terhadap kejadian itu.Operasi bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir jam 12.15 tengah hari, diteruskan berikutan penemuan sebentuk gelang emas di dalam tali air di Sungai Lang, di sini, Selasa lalu. Polis yang mengiringi suspek turut meninjau kawasan sekitar tali air itu sebelum Unit Penyelam PGM menyelam di kawasan berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter daripada lokasi pasukan sama menemui gelang tangan dipercayai milik mangsa. Bagaimanapun, selepas beberapa jam menyelam tiada bahan bukti ditemui sebelum mereka bersurai berikutan hujan lebat. Kumpulan media yang membuat liputan hanya dibenarkan berada 100 meter daripada lokasi pencarian. Bagaimanapun, kira-kira jam 12.20 tengah hari, dua kenderaan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memasuki kawasan tempat Sosilawati dipercayai dibunuh di Ladang Gadong, dekat Tanjung Sepat. Tujuan kenderaan itu memasuki kawasan terbabit dipercayai mencari punca air bersih yang disalurkan ke dalam ladang ternakan itu. Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som, ketika dihubungi berkata, ia pemeriksaan rutin.
Katanya, pemilik ladang itu pelanggan Syabas dan meter bekalan air terletak di luar premis berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan