Khamis, 23 September 2010

'Jam suami'

SUNGAI PETANI: “Saya pasti jam tangan itu milik suami saya. Dia ada banyak jam berjenama tetapi hanya satu bertali kulit jenama Puma,” kata Samsonnahar Mohamed Dali, 35, isteri kontraktor, Mohd Shafiq Abdullah, 37, dipercayai turut menjadi mangsa peguam yang kini menjadi suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Menurut Samsonnahar, dia dipanggil polis mengenal pasti jam tangan berkenaan ketika ke Banting, Isnin lalu bagi membantu siasatan.

“Saya tak pasti macam mana polis menemui jam itu tetapi yang saya ingat ia ditemui di ladang (lokasi dipercayai Sosilawati serta tiga yang lain dibunuh),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Raya, di sini, semalam.

Semalam, Harian Metro menyiarkan Mohd Shafiq dilaporkan keluar rumahnya di Taman Bunga Raya, di sini pada 5 April lalu, kira-kira jam 5 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream berwarna emas miliknya menuju ke Kuala Lumpur dipercayai berurusan dengan peguam terbabit.

Itu kali terakhir Samsonnahar bertemu suaminya dan dua hari kemudian antara jam 10.30 hingga 11 malam, suaminya ada menelefonnya memberitahu akan pulang pada 9 April.

Bagaimanapun, sehingga kini suaminya tidak pulang ke rumah atau menghubunginya menyebabkan dia membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani pada 13 April lalu.

Kes berkenaan dirujuk di Balai Polis Petaling, Kuala Lumpur pada April lalu.

Samsonnahar berkata, suaminya berasal dari Perak tinggal di sebuah rumah sewa di Kuchai Lama, Kuala Lumpur kerana bekerja di sana dan hanya pulang ke rumah mereka di Sungai Petani pada setiap hujung minggu. Menurutnya, dia dimaklumkan Balai Polis Banting, baru-baru ini yang mengesahkan 95 peratus kemungkinan suaminya seorang daripada mangsa peguam terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan