KUALA LUMPUR 21 Sept. - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau pernah 'membela' dan melindungi mana-mana gengster melibatkan kaum India di negara ini.
Beliau memberitahu, dakwaan itu timbul apabila ada pihak mengambil kesempatan untuk menyebarkan fitnah selepas pendedahan yang dibuat beliau berhubung suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lagi rakannya.
Katanya, dakwaan itu dilakukan musuh politik yang melihat pendedahannya berhubung suspek utama kes terbabit sebagai satu peluang untuk menjatuhkan maruah dan karier politiknya.
"Semalam, orang pandang serong pada saya selepas tersebar khabar angin saya ada kaitan dengan suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati sehingga kononnya pejabat saya diserbu polis.
"Saya sedih dengan fitnah sebegini, satu Malaysia sudah kecoh sedangkan dalam agama Islam sekalipun dosa fitnah lebih besar daripada membunuh.
"Ketika membuat pendedahan mengenai suspek terbabit, saya ikhlas dan tidak sembunyikan apa-apa fakta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MIC di sini, hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas mendakwa gejala gengsterisme melibatkan kaum India berpunca sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin politik di kalangan kaum tersebut yang 'membela' mereka.
Katanya, tindakan itu bertujuan mengekalkan pengaruh politik dan melindungi kegiatan tidak bermoral pemimpin bersikap talam dua muka itu.
Kayveas mencabar pemimpin politik kaum India di negara ini supaya menafikan bahawa mereka membela gengster.
Baru-baru ini, Murugiah membuat laporan polis berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur fitnah yang beliau terima mengaitkannya dengan suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik tersebut.
Dalam pada itu, Murugiah memberitahu, taktik menyebarkan fitnah itu sebagai permainan politik yang sengaja dilakukan untuk mengalihkan isu dan beliau hanya dijadikan 'kambing hitam.'
"Saya ada terbaca mengenai ujian poligraf dan saya setuju ia digunakan sebagai salah satu langkah untuk membuktikan tuduhan terhadap diri kita, mencari orang menyebarkan dakwaan itu dan kalau boleh membantu polis dalam melakukan siasatan.
"Jika kaedah itu berkesan, ia wajar dilaksanakan untuk membantu seseorang membersihkan namanya daripada fitnah," katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas didesak membuktikan dakwaannya tentang segelintir pemimpin politik India membela gengster bagi mengekalkan pengaruh politik dan melindungi kegiatan tidak bermoral.
Naib Presiden MIC, Datuk S.K. Devamany berkata, tuduhan itu hanya mencemarkan nama baik pemimpin politik kaum India yang sentiasa bekerja keras untuk mengurangkan kegiatan gengster di negara ini.
"Jika beliau tahu siapa pemimpin politik India yang membela gengster, beliau harus tampil dengan bukti sahih dan membuat laporan polis.
"Presiden PPP itu tidak patut mengeluarkan persepsi menyeluruh kerana ia hanya menyebabkan perasaan kurang senang di kalangan masyarakat yang hidup berbilang kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Kayveas tentang kegiatan gengster melibatkan kaum India yang berpunca sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin politik di kalangan kaum tersebut yang membela mereka.
Devamany berkata, jenayah berlaku di mana juga dan ia tidak patut dikaitkan dengan kaum tertentu atau pihak pemimpin.
"Oleh itu, saya berharap Kayveas akan buktikan tuduhan beliau dan jika terdapat individu berbuat demikian, lebih baik dia membuat laporan polis.
"Biar polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemimpin membela gengster bagi tujuan peribadi," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda MIC, T. Mohan berkata, terdapat ahli parti sangat agresif di dalam MIC dan beberapa parti politik India lain dan mereka sanggup bertindak ganas bagi mempertahankan pemimpin masing-masing.
"Namun orang yang agresif tidak bermaksud mereka turut terlibat dalam kegiatan gengster. Dalam PPP pun mungkin terdapat ahli agresif," tanya beliau.
Katanya, MIC dari dulu lagi menganjurkan beberapa kempen bagi mencegah gejala gengster di kalangan kaum India khususnya di kalangan remajanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan