Selasa, 21 September 2010

Sepasukan peguam bela dua beradik suspek pembunuhan


KUALA LUMPUR 20 Sept. - Peguam, Ravi Nekoo hari ini mengesahkan bahawa beliau telah dilantik mewakili dua beradik yang kini berada dalam tahanan reman berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Pelantikan itu dibuat oleh keluarga dua beradik tersebut pada 12 September lalu dan satu pasukan pembelaan juga telah ditubuhkan bagi mewakili kedua-dua suspek terbabit yang juga merupakan peguam.
Pengesahan tersebut dimaklumkan kepada media melalui satu kenyataan akhbar yang dihantar melalui e-mel.
Ravi dari firma guaman, Tetuan Hakem Arabi & Associates mempunyai 15 tahun pengalaman dalam bidang perundangan dan sering mengendalikan kes-kes jenayah dan sivil.
Beliau merupakan salah seorang peguam pemerhati kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu prosiding Suruhanjaya Diraja Siasatan berhubung klip video perbualan peguam Datuk V.K. Lingam yang dikatakan mengatur pelantikan hakim-hakim di negara ini, dua tahun lalu.
Beliau turut terlibat dalam kes perebutan hak penjagaan anak antara S. Shamala dan Dr. Muhammad Ridzwan Mogarajah serta peguam pemerhati bagi pihak Daphne Iking dalam kes seorang ahli perniagaan yang didakwa cuba memikat pengacara terbabit ketika masih isteri orang.
Menurut kenyataan akhbar itu juga, peguam terbabit melahirkan rasa tidak puas hati dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (JSJKL), Datuk Ku Chin Wah yang didakwa tidak memberi peluang kepada mereka untuk bertemu dengan anak-anak guamnya.
''Kami telah menghantar surat bertarikh 14 September lalu kepada Ketua JSJKL agar diberikan peluang untuk bertemu dengan anak guam kami. Bagaimanapun tiada maklum balas diterima,'' ujarnya.
Selain itu, Ravi mendakwa, pihak polis gagal memaklumkan kepada mereka mengenai lanjutan tahanan reman terhadap anak-anak guam mereka dan hanya mengetahuinya melalui akhbar.
Disebabkan kegagalan tersebut, peguam itu menyatakan pihaknya telah menghantar sepucuk surat kepada Ketua Polis Negara dan timbalannya bagi memohon akses untuk bertemu dengan dua beradik itu.
Pada 18 September lalu, Majistret Mohd. Azeli Ibrahim membenarkan lanjutan reman terhadap seorang peguam yang mendakwa dirinya bergelar Datuk, adiknya dan seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes bunuh dan bakar itu.
Perintah reman yang dikeluarkan di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil dilanjutkan sehingga 25 September ini.
Suspek utama itu dan adiknya yang juga seorang peguam ditahan polis pada 9 September lalu di Banting manakala enam lagi suspek ditahan pada keesokkan hari iaitu 10 September lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan