Selasa, 21 September 2010

'Tampil beri keterangan jika ada bukti'

21/9/2010
SHAH ALAM: “Kita minta dia (Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin) tampil untuk dirakam percakapan sekiranya dia ada bukti berhubung dakwaannya itu,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi, di sini, semalam.
Beliau mengulas dakwaan Shamsul Iskandar berhubung dakwaan kononnya pucuk pimpinan tertinggi polis ada kaitan dengan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang tersiar di portal berita TV Selangor, Isnin lalu.

Khalid berkata, selepas berita itu tersiar, polis beberapa kali menghubunginya, namun gagal selepas telefon bimbitnya dimatikan selain enggan menjawab panggilan.

“Kita hanya minta dia tampil. Tindakannya tidak mahu menjawab telefon dan menutup talian telefonnya umpama ‘baling batu sembunyi tangan’.

“Jangan sampai kita (polis) minta perintah mahkamah untuk dia datang memberi keterangan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, dua wartawan TV Selangor tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam, bagi membantu siasatan berhubung penyiaran wawancara dengan Ketua AMK itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan