Sampel rambut ibu jutawan diambil
Posted on Thursday, September 16 @ 03:53:49 PDT
BATU PAHAT: Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bersama seorang doktor mengunjungi rumah adik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini, petang semalam, bagi mendapatkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ibunya sekali gus membantu siasatan.
Kunjungan kira-kira sejam itu, dilakukan untuk mengumpul contoh DNA fizikal Yatmah Abdul Rahman, , seperti rambut sebelum pasukan berkenaan pulang ke ibu kota bagi meneruskan siasatan.
Difahamkan, contoh DNA Yatmah diperlukan untuk dibandingkan dengan tulang ditemui polis di Banting, Selangor.
Adik Sosilawati, Rosnani Lawiya, 45, berkata rombongan berkenaan tiba di rumahnya kira-kira jam 4 petang semalam sebelum bertemu ibu, Yatmah, bagi mendapatkan contoh DNA.
“Mereka berada di rumah saya selama kira-kira sejam bagi mengambil beberapa sampel DNA milik ibu termasuk rambut dan kami memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan polis.
“Kami tidak berkesempatan bertanya lebih lanjut mengapa DNA ibu perlu diambil kerana tidak mahu mengganggu tugas mereka. Selain itu, kami agak sibuk melayan tetamu yang bertali arus mengunjungi keluarga kami.
“Bagaimanapun, kami berharap sampel DNA kali ini mampu menghasilkan keputusan muktamad terhadap kes ini kerana kami tidak mahu terus dirundung kesedihan memikirkan pemergian Kak Wati,” katanya ketika dihubungi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan