2010/09/20
Sembilan ekor penjaga ladang disuntik pelali dos tinggi sehingga matiBANTING: Sembilan ekor anjing dipercayai menjadi penjaga Ladang Gadong milik suspek utama kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lain disuntik dengan pelalian dos tinggi sehingga mati oleh bahagian penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersama polis, di sini, semalam.
Tindakan itu dilakukan apabila anjing terbabit dipercayai kelaparan, bertindak agresif dengan memakan binatang peliharaan lain seperti kambing, itik serta ayam sejak pembunuhan itu terbongkar. Antara anjing yang ditangkap dalam operasi berkenaan, enam baka Rottweiler, seekor baka Bulldog dan dua anjing berwarna putih hitam yang tidak diketahui bakanya.
Operasi menembak pelali bermula jam 8.15 pagi dan berakhir jam 10 pagi itu disertai pasukan penangkap anjing MDKL bersama polis.
Selepas semua anjing berkenaan mati, bangkai dibawa ke sebuah bekas tapak pelupusan sampah Sungai Sedu yang terletak di Kampung Sungai Sedu di Telok Datuk, di sini, untuk ditanam.
Mengikut jurucakap MDKL lagi, polis memaklumkan pihak MDKL menangkap anjing jenis Rottweiler saja tetapi sebaik pasukan penangkap tiba, mereka terkejut menemui jumlah anjing yang banyak dan bebas berkeliaran.
Sementara itu, puluhan pelancong asing dan tempatan yang mahu melawat sebuah ladang longan berhampiran lokasi pembunuhan hampa selepas polis masih menutup laluan ke ladang itu berikutan kawasan terbabit diklasifikasi sebagai kawasan larangan.
Sejak pagi semalam, beberapa kenderaan termasuk sebuah bas persiaran membawa pelancong cuba memasuki laluan tetapi terpaksa berpatah balik berikutan kawasan itu masih ditutup untuk memudahkan pasukan forensik membuat siasatan lanjut.
Peniaga yang mengusahakan tanaman longan berdekatan, Lim Soon Beng, 40, berkata dia kerugian ribuan ringgit selepas laluan ke ladangnya seluas enam hektar ditutup kerana memberi laluan kepada pihak polis untuk membuat siasatan di situ.
Sejak laluan ditutup, saya kerugian RM2,000 hingga RM3,000 sehari kerana hasil jualan longan tidak dapat dibawa keluar manakala pelanggan saya termasuk pelancong yang mahu ke ladang juga tidak dapat ke ladang saya.
Sudah 10 hari saya terpaksa menutup sementara perniagaan saya dan saya juga menerima banyak rungutan daripada pelanggan saya terutama pemborong longan yang tidak lagi mendapat bekalan longan dari ladang saya, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan