Rabu, 3 November 2010

Anak Sosilawati fail saman RM60 juta

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Enam anak Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya memfailkan tuntutan saman ganti rugi RM60 juta terhadap peguam N Pathmanabhan dan lima pekerja ladang yang didakwa terbabit dalam pembunuhan jutawan kosmetik itu, semalam.
Saman itu difailkan Erni Dekritawati Yuliana Buhari, Erwan Suwari Rizuwan, Md Erwan Nasri, Erni Erinawati Sofia, Erni Rineelawati dan Siti Nur Fatimah menerusi Tetuan Kamarudin & Partners di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada jam 8.45 pagi. Selain Pathmanabhan, 41, mereka turut menamakan lima defendan lain iaitu T Thilaiyalagan, 19, R Mathan, 20, dan R Khatavarayan, 30, selain K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26.

Peguam Kamarudin Ahmad, Won Walter Pereira dan Annie Gomez hadir mewakili plaintif.

Bagaimanapun, semua anak jutawan itu dikatakan tidak dapat hadir atas alasan peribadi.

Dalam pernyataan tuntutan, semua anak Sosilawati antara lain mendakwa bahawa kematian ibu mereka pada usia 47 tahun selepas ke Banting untuk urusan jual tanah bersama Pathmanabhan pada 30 Ogos lalu menyebabkan mereka mengalami trauma dan penderitaan berterusan.

Anak-anak Sosilawati mendakwa Pathmanabhan dan Thilailayagan sudah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh ibu mereka, manakala Sarawanan dan Suresh sudah mengaku bersalah melupuskan mayat mangsa.

Mereka mendakwa kematian ibu menyebabkan kerugian kerana perniagaan di bawah kendalian Sosilawati dijangka akan memperoleh pendapatan lebih besar berdasarkan beberapa projek yang sudah dirancang termasuk usaha menyenaraikan perniagaan kosmetik berasaskan produk Nouvelle Visages ke Bursa Malaysia.

Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd yang diasaskan Sosilawati kini mempunyai 300 kedai dan pembekal di seluruh negara termasuk di Brunei, Singapura dan Thailand dan memiliki aset keseluruhan berjumlah RM6.37 juta, liabiliti (RM5.01 juta) dan simpanan (RM1.16 juta).

Pada tahun kewangan berakhir 2007, syarikat itu memperoleh keuntungan bersih RM183,173 dan keuntungan keseluruhan berjumlah RM7.54 juta.

Kata mereka, kematian tidak diduga itu menyebabkan mereka kehilangan kehilangan kasih sayang dan sokongan ibu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan mereka selama ini. Oleh itu, anak-anak Sosilawati menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am RM20 juta, ganti rugi teladan atau hukuman RM40 juta, di samping faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Kamarudin ketika ditemui berkata, jumlah tuntutan itu naik daripada RM40 juta seperti dilaporkan sebelum ini kerana pihaknya baru mendapat maklumat bahawa jutawan itu mahu menyenaraikan perniagaannya di Bursa Malaysia.

“Jumlah itu adalah untuk menghantar mesej kepada masyarakat bahawa jenayah seperti ini perlu menerima hukuman yang berat,” katanya.

Pada 13 Oktober lalu, Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Mathan dan Khatavarayan, didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47 dan tiga individu lain.

Individu lain itu, pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Keempat-empatnya didakwa melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan itu semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Majistret Teluk Datok menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes bunuh itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan