Empat Ditahan Mengaku Terlibat Dalam Pembunuhan
Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
KUALA LANGAT: Polis mengesahkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain mati dibunuh sebelum dibakar dan abu mayatnya dibuang di sebuah sungai berhampiran lokasi kejadian di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, keterangan itu dibuat berdasarkan pengakuan empat suspek yang ditahan.
Sehubungan itu katanya, Jabatan Forensik PDRM dan Jabatan Kimia sedang melakukan siasatan bagi mengesahkan penemuan empat mayat di Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini pada Sabtu adalah Sosilawati bersama tiga individu lain yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.
"Berdasarkan hasil tangkapan polis terhadap empat suspek telah mendedahkan pengakuan mereka terlibat dalam satu kejadian pembunuhan yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Empat mayat yang dibunuh, dibakar dan dibuang abunya di sungai berhampiran tempat kejadian di sini," katanya pada sidang media di sini.
Mohd Bakri berkata, polis telah menangkap lapan individu sejak 10 September antaranya individu bergelar datuk, adik-beradik dan remaja berusia 19 tahun.
Menurutnya, dipercayai keempat-empat mayat itu dibakar berdasarkan penemuan tempat pembakaran yang diperakui suspek.
“Bagaimanapun kita tidak dapat mengesahkan mereka yang dibunuh itu adalah Sosilawati dan tiga individu lain. Kita perlu tunggu hasil siasatan lanjut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan