KUALA LUMPUR 13 Sept. - Polis tidak menolak kemungkinan pembabitan pembunuh profesional atau kumpulan samseng dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Pembunuh profesional atau kumpulan samseng itu dikatakan bekerjasama dengan dua peguam adik-beradik yang ditahan sebagai suspek utama termasuk salah seorangnya bergelar Datuk bagi melakukan pembunuhan kejam itu sebelum membakar mayat mereka.
Menurut sumber, siasatan juga mendapati Datuk itu pernah memberi bantuan guaman kepada pertubuhan haram Hindraf dan menjadi ahli seumur hidup kepada sebuah parti politik.
Selain itu, kata sumber tersebut, setakat ini pihak polis telah mendapat maklumat penting berhubung pemilikan suspek terhadap beberapa hartanah yang dipercayai diperolehi secara tidak sah, selain kes-kes membabitkan penipuan terancang.
Mengulas lanjut, sumber berkenaan memberitahu, kejayaan polis membongkar kes pembunuhan itu dalam tempoh singkat berpandukan kepada maklumat yang diperoleh daripada pesanan yang ditinggalkan Sosilawati.
"Polis bernasib baik kerana mangsa sempat meninggalkan pesanan kepada ahli keluarganya memaklumkan lokasi dan individu yang mahu ditemui pada hari dia dilaporkan hilang.
"Maklumat penting ini membolehkan polis menjejaki suspek dua beradik terbabit sebelum berjaya diberkas Sabtu lalu," katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, siasatan polis juga mendapati suspek bergelar Datuk tersebut kerap menghulurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk menawarkan khidmat guaman secara percuma.
Malah, dia juga dikatakan bijak menarik perhatian masyarakat menyebabkan firma guamannya menjadi popular dan ramai pelanggan berminat mendapatkan khidmat termasuk golongan kenamaan.
Difahamkan, peguam terbabit pernah beberapa kali memanggil media untuk mengadakan sidang akhbar berhubung mangsa yang dianiaya oleh majikan dan kes-kes membabitkan gangguan seksual.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan